Pengangkutan
Pelan lalu lintas tidak menjadi
Bas kota tambahkan masalah, bukan redakan kesesakan

Oleh Fauzan Mydin
Bagi sebuah ibu negeri kecil yang ada kira-kira setengah juta penduduk, secara relatifnya ramai memiliki kenderaan di Kota Kinabalu. Ada sebuah kereta bagi setiap tiga orang. Jutaan orang masuk ke bandaraya ini setiap tahun. Menjelang tahun depan, ada enam juta orang akan ada di sini. Selepas empat bulan, usaha dewan bandaraya untuk meredakan kesesakan lalu lintas dengan melarang kemasukan bas berhenti-henti bas mini dari kawasan sibuk di tengah-tengah kota, nampaknya tidak berjaya.
Pada 1 Jun, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) memberikan monopoli kepada Mustika Enterprise Sendirian Berhad untuk mengendalikan enam bas kota yang akan membawa komuter masuk ke pusat bandaraya. Bas luar daerah dan bas mini menurunkan penumpang mereka di terminal bas Wawasan di mana mereka kemudian akan mengambil salah satu bas kota itu masuk ke bandaraya.
Ini mencetuskan aduan daripada penumpang yang marah. Mereka merungut terpaksa membelanjakan tambang lebih dan berasa tidak selesa kerana tempoh perjalanan yang lebih panjang serta terputus hubungan untuk sampai ke destinasi. Sekali berada dalam bandaraya, mereka terperangkap lagi dalam kesesakan jalan ketika waktu puncak.
"Kami membayar lebih untuk kesusahan," kata Aishah Abdullah, seorang pelajar yang tinggal di Sepanggar, kira-kira 20 kilometer dari Kota Kinabalu. "Tambahan satu ringgit sehari untuk membayar tambang bas kota adalah membebankan keluarga saya. Kami juga membazir banyak masa berbaris menunggu giliran bas yang datang."
Bas itu pula terlalu sesak pada waktu puncak. Dan ia bukannya murah atau cekap serta penghawa dingin tidak berfungsi dengan baik dengan keadaan cuaca panas Kota Kinabalu. Mereka juga tidak ikut jadual bergerak setiap 15 minit. Wanita tua, wanita yang mendukung bayi, kanak-kanak kecil dan orang kurang upaya diketepikan ketika penumpang berebut mendapatkan tempat duduk.
Ia tidak seperti apa yang dijanjikan oleh Liew Vui Keong, timbalan menteri persekutuan di jabatan perdana menteri. Satu-satunya penenang rasa ialah, pengusaha bas tidak mengenakan tambang bagi warga emas, orang kurang upaya dan pelajar. Tetapi ada mereka yang mengatakan, konduktor bas masih meminta tambang daripada mereka.
Mustika dan LPKP mengenal pasti masalah itu. Tetapi tidak banyak yang mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah itu. Syarikat itu berkata, ia kini ada 19 bas yang ada 30, 46 dan 60 tempat duduk. Tetapi ini tidak cukup untuk menangani masalah pada waktu puncak. Pada waktu puncak, mereka hanya boleh ambil kira-kira 3,400 penumpang masuk ke pusat bandaraya.
Malah Ariffin Samsudin, pengarah LPKP berkata, beliau menerima semakin banyak aduan mengenai bas kota daripada pelancong berbanding penduduk tempatan. Tetapi selain daripada hanya memantau keadaan, nampaknya LPKP tidak dapat berbuat apa-apa.
Adalah masuk akal jika LPKP menamatkan monopoli Mustika dan membenarkan pengusaha lain membawa lebih banyak bas ke kota untuk mengatasi masalah sesak setiap hari. Namun, Liew yang memantau LPKP memberitahu Insight Sabah bahawa tiada pengusaha bas yang menunjukkan minat dalam mengusaha perkhidmatan bas kota. - Insight Sabah.
Diterbitkan pada 15-10-2009 05:00 pm
