Hari Malaysia
Negara semakin matang

Selepas 47 tahun, cuti umum merayakan kelahiran sebuah negara
Datuk Masidi Manjun, Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar yang juga seorang peguam, baru berusia 13 tahun ketika Malaysia diisytiharkan serentak di Kota Kinabalu (ketika itu dikenali sebagai Jesselton), Kuala Lumpur, Singapura dan Kuching. Ia diumumkan pada jam 7.30 pagi Isnin, pada tarikh 16 September 1963. Beliau adalah salah seorang daripada ramai budak sekolah di Padang Merdeka itu yang membawa sepanduk berbunyi "merdeka". Namun, hari ini makna hari bersejarah itu yang mewujudkan negara Malaysia melalui gabungan dengan semenanjung Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah (ketika itu Borneo Utara) tidak dapat dihayati oleh kebanyakan rakyat Malaysia, sepenuhnya. Perdana Menteri, Datuk Najib Razak mahu memperbetulkannya.
Dan buat pertama kali sejak 47 tahun, Hari Malaysia kini dijadikan cuti umum negara. Pada 16 September ini, ia akan memperingati penubuhan sebuah negara melalui perayaan kebangsaan secara besar-besaran di Kota Kinabalu mengenai pembentukan Malaysia yang membebaskan Sabah dan Sarawak daripada pemerintahan British.
Datuk Joseph Salang Gandum, timbalan menteri penerangan, komunikasi, seni dan budaya persekutuan berada di Kota Kinabalu pada 4 Jun untuk memberitahu Masidi bahawa Sabah akan menjadi tuan rumah perayaan Hari Malaysia yang pertama. Perayaan tahun depan akan diadakan di Kuching.
Di peringkat kebangsaan, 31 Ogos dirayakan sebagai hari kemerdekaan Malaysia. Pada tahun 1957 itu, 11 negeri di semenanjung Malaya mendapat kemerdekaan daripada Britain. Malaysia juga sepatutya diumumkan pada 31 Ogos tetapi ia dilengahkan sehingga 16 September akibat bantahan gabungan itu dari Indonesia dan Filipina dan sokongan tidak menentu rakyat dari Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya Cobbold dan pasukan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa kebanyakan penduduk Borneo berminat dengan gabungan itu tetapi mereka perlukan pelindung hak mereka.
Sabah merayakan 16 September sebagai ulang tahun Yang Dipertua Negerinya yang dijadikan cuti umum. Gandum berkata, beliau mendesak di sidang parlimen sejak 10 tahun yang lalu supaya 16 September dirayakan sebagai Hari Malaysia.

Masidi berkata, Najib dijangka hadir diperayaan itu yang akan menjadi karnival selama sebulan. Ia dijangka bermula pada 15 Ogos. Rekod sejarah akan dipamerkan di arkib negeri dan muzium untuk memaklumkan dan mendidik orang ramai mengenai bagaimana dan kenapa Malaysia dibentuk.
Bertemakan “Menjana Transformasi," perayaan ini diharap dapat membantu kempen perpaduan 1Malaysia yang diuar-uarkan Najib ketika beliau membuat transformasi untuk meningkatkan prestasi kerajaannya untuk memberi khidmat lebih baik kepada 28 juta penduduknya yang berbilang kaum Melayu, Cina, India dan penduduk Bumiputera.
Ahli politik dan sejarawan berkata, persefahaman yang lebih baik mengenai sejarah Malaysia akan memupuk hubungan yang baik di antara kerajaan negeri dan persekutuan. Kata mereka, rasa tidak puas hati dan tidak gembira wujud akibat kurangnya persefahaman kenapa dan bagaimana Malaysia dibentuk. (Lihat Bagai mengharung badai).
James Wong Kim Min, 88, dari Sarawak dan salah seorang daripada pengasas Malaysia berkata, rakyat Sarawak berusia 40an dan 50an tahun juga jahil atau tidak ada peluang untuk mengetahui bagaimana Malaysia ditubuh. "Mereka masih terlalu muda untuk memahami perubahan yang berlaku," katanya.
Fakta mengenai pembentukan Malaysia, bagaimanapun, kelihatan lebih ganjil daripada fiksyen. Ironinya, Singapuralah yang mendesak untuk bergabung dengan Malaya, Sabah dan Sarawak supaya bebas daripada Britain tetapi diusir keluar daripada persekutuan Malaysia yang ada 14 negeri itu, kurang dua tahun kemudian.
Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya pertama, menolak cadangan Singapura itu kerana bimbang negara kecil yang ada 1.3 juta penduduk etnik Cina itu akan menyebabkan kesulitan pada komposisi kaum Malaysia yang dikuasai kaum Melayu. Britain pula cuba mempercepatkan penyahjajahannya dan nampak peluang untuk membawa Sabah dan Sarawak dalam gabungan itu supaya boleh diterima oleh Tunku. Penduduk asal Borneo akan menjadi penimbang balas kepada kumpulan Cina di Singapura.
British tidak memikirkan bahawa Sabah dan Sarawak, yang kekurangan pekerja mahir dan sumber (kecuali kayu balak dan getah), boleh berdikari sebagai sebuah negeri merdeka. Minyak ketika itu belum ditemui di perairan Sabah sehinggalah pada 1970 manakala pencarian minyak darat di Miri Sarawak semakin habis. Pencarian minyak di laut baru bermula. Pengeluaran minyak daripada laut Miri baru bermula pada tahun 1970an. Hasil minyak tahunan Sarawak ialah kira-kira RM75 juta, kata Wong. Ia juga diancam oleh organisasi bersenjata komunis.
Tiada sesiapapun tahu kenapa tarikh 16 September dipilih. Dalam memoirnya bertajuk "The Singapore Story", Lee Kuan Yew yang berjuang menubuhkan Malaysia berkata, Duncan Sandys, setiausaha negeri Britain untuk hubungan komonwel, memujuk Tunku supaya bersetuju mengumumkan Malaysia pada 16 September sebab ia adalah nombor bertuah Tunku. "Lapan campur lapan sama dengan 16, satu lagi nombor bertuahnya," kata Lee yang menjadi perdana menteri paling lama memimpin Singapura iaitu selama 31 tahun sehinggalah bersara pada 1990.
Tarikh September 16 juga sebenarnya adalah harijadi Lee Kuan Yew. "Tunku tidak tahu yang ia adalah harijadi saya yang ke-40. Jika beliau tahu, mungkin tarikh itu akan diubah - tarikh lahir saya tidak patut jadi hari bertuahnya."
Ketika Lee merayakan ulang tahunnya tahunnya yang ke 87 dan Malaysia pula tidak lama lagi merayakan ulang tahun penubuhannya pada 16 September ini, beliau mungkin terfikir bagaimana 16 September mengubah halatuju dan takdir sejarah dua negara berjiran ini. – Insight Sabah
-- With reporting by Jenney Juanis; Pictures by Henry Matakim
Nota: Hubungan Malaysia dan Singapura semakin baik dibawah pimpinan Najib yang mana baru-baru ini mengumumkan dua negara itu akan membentuk perkongsian untuk memajukan 271 hektar tanah di Singapura milik syarikat keretapi Malaysia apabila ia memindahkan stesennya di Tanjung Pagar ke Woodlands tahun depan.
Artikel berkaitan:
Diterbitkan pada 08-06-2010 04:47 pm
Carian lain:
malaysia day, sabah, sarawak, borneo, indonesia, philippines, Najib, singapore, Lee Kuan Yew, Tunku Abdul Rahman, Abdullah Badawi
