Kemiskinan
Menuju kekayaan
Daripada kaya kepada miskin kembali kaya, cara seimbangkan angka

Oleh Sebastian Lee
Penduduk Sabah memang sepatutnya ada hak untuk marah. Tiga puluh tahun yang lalu, Sabah adalah negeri paling kaya di Malaysia kerana memiliki pelbagai sumber. Hari ini, ia adalah negeri dalam persekutuan Malaysia yang paling miskin. Ini sama sekali tidak masuk akal bagi kebanyakan tiga juta penduduknya, di mana ramai yang menikmati taraf hidup yang tinggi.
Royalti daripada gas dan minyak, pendapatan eksport daripada methanol, balak, kelapa sawit dan komoditi lain serta sejumlah besar keuntungan hasil pelancongan membawa kemewahan kepada penduduk bandaraya dan penduduk kampung berdekatan. Bandar dan pekan sibuk dengan perniagaan. Jalan raya pula sesak dengan kereta mewah Toyota dan Mercedes Benz. Restoran dan kedai kopi penuh ketika makan tengah hari. Hotel hampir penuh dan bangunan berbilion ringgit dibina menunjukkan keunggulan ekonomi Sabah.
Tukulan mesin besar dan deruan enjin traktor yang membingit serta bunyi bising mesin gaul konkrit akan melemaskan mana-mana protes mengenai kemiskinan di bekas jajahan British ini. Itu apa yang kita lihat di bandaraya. Namun, statistik memberitahu cerita berlainan.
Secara rasminya, kadar kemiskinan di Sabah adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 16 peratus, iaitu kira-kira tiga kali ganda daripada angka purata kebangsaan. Setahun yang lalu, kadarnya adalah kira-kira 24 peratus. Ia boleh turun kepada sepertiga dalam masa singkat. Namun, ia menjelaskan masalah yang lebih luas dari segi politik dan sosio ekonomi yang membebankan Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Kalau tidakpun, ia tugasan yang maha hebat untuk menseimbangkan kemewahan di antara orang kaya dan miskin yang membentuk kira-kira tiga suku daripada populasi luar bandar Sabah.
Masalah paling menyengitkan yang mengganggu perancang dan pembuat dasar sosio ekonomi ialah kehadiran ramai pendatang asing dari Filipina dan Indonesia di negeri ini. Mereka menyediakan buruh murah yang amat diperlukan untuk membuat bangunan tinggi, bekerja di ladang dan perindustrian makanan, namun merekalah yang dipersalahkan atas kemiskinan yang dialami negeri ini.
Ramai penduduk Filipina melarikan diri ke Sabah pada tahun 1970an ketika kemuncak perang saudara berlaku di antara pemisah Islam dan kerajaan mereka untuk mendapatkan autonomi bagi wilayah selatan Filipina. Rakyat Indonesia pula menyertai mereka untuk mencari pekerjaan sebagai buruh di kem kayu balak dan binaan di Sabah.
Pun begitu, tiada siapa tahu jumlah sebenar mereka. Angka di antara 200,000 dan sejuta diuar-uarkan oleh konsulat Filipina dan Indonesia serta pegawai Sabah. Pembanci pula menganggarkan kira-kira 811,000 warga asing berada di Sabah. Mereka termasuklah rakyat India dan beberapa warga dari negara Barat, Jepun dan Korea. Bagaimanapun, warga Filipina dan Indonesia adalah penduduk majoriti yang mendapat gaji di antara RM20-RM40 sehari dengan bekerja di tapak-tapak binaan dan perladangan serta menjadi pelayan di kedai kopi. Mengecualikan mereka daripada kajian pendapatan akan mengurangkan nisbah kemiskinan Sabah seperlima kepada kira-kira 13 peratus. Tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah penduduk miskin Sabah yang tinggal di kebanyakan kampung.

Ketua Menteri Musa Aman, memandang statistik itu dengan rasa tidak selesa. Selepas memimpin selama enam tahun, beliau dengan
tekad mahu membasmi kemiskinan di negeri ini dan menjadikannya sebagai negeri paling membangun di Malaysia dalam tempoh enam tahun. Tugas membasmi kepada sifar miskin ini sudah bermula dengan bersungguh-sungguh dan be
liau hanya ada beberapa bulan untuk mencapai matlamatnya itu.
Lebih daripada RM3 bilion ($860 juta) wang negeri dan persekutuan sudah dibelanjakan bagi membantu penduduk kampung mengusahakan tanah dengan menanam sayur, buah-buahan, padi, kelapa sawit dan getah selain menternak lembu, kambing, ayam dan ikan. Kerajaan juga melatih penduduk kampung dalam bidang jahitan, mendandan rambut dan membuat kuih. Skim mikrokredit yang mengguna pakai kejayaan Bank Grameen di Bangladesh, menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah bagi membantu penduduk kampung memulakan perniagaan.
Wang tunai biasanya diberi kepada warga tua, anak piatu dan mereka yang miskin. Jalan raya dan jambatan dibina di kampung terpencil untuk membolehkan petani mengangkut hasil mereka ke tamu di pekan-pekan. Ribuan rumah kos rendah dan sederhana juga dibina untuk kemudahan penduduk di luar bandar.
"Tujuannya," kata seorang pegawai negeri "ialah mengurangkan koloni setinggan kepada sifar di Sabah".
Tahun ini, kerajaan persekutuan memberi RM580 juta kepada Sabah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi membasmi kemiskinan manakala kerajaan negeri membelanjakan hampir RM160 juta. Dengan bajet besar itu, menunjukkan laluan daripada miskin kepada kaya bukannya mudah memandangkan saiz Sabah yang sama besar dengan Scotland dan lebih daripada 70 peratusnya masih luar bandar.
Musa bersikap adil dan baik hati dalam membawa kesenangan kepada rakyatnya. Penduduk miskin tidak akan lagi miskin tetapi mereka perlu berdikari atas kaki sendiri. Mereka yang kaya pula akan semakin kaya tetapi diharap tidak menjejaskan golongan papa kedana. Tahun depan, penduduk Sabah akan melihat kemegahan negeri dikembalikan kepadanya apabila dihapuskan dalam senarai miskin. Dan orang yang melakukannya ialah Musa Aman. -- Insight Sabah.
Diterbitkan pada 01-09-2009 05:00 am
